KUCHING, 9 Julai: Kolej Universiti Saito dan Regal City College bekerjasama dengan Tabung Jasamu Sarawak telah mengambil inisiatif menganjurkan Pesta Frontliner 2023 yang julung kalinya diadakan di Sarawak.
Pengerusi Tabung Jasamu Sarawak, Leftenan Jeneral Datuk Stephen Mundaw berkata, Pesta Frontliner 2023 merupakan majlis bagi menghargai jasa dan pengorbanan petugas agensi-agensi barisan hadapan ketika menjalankan tugas mereka.
“Pesta Frontliner 2023 adalah satu majlis bersejarah yang diadakan untuk menghormati dan mengenang jasa para frontliner yang telah menunjukkan komitmen yang begitu tinggi, keberanian dan pengorbanan yang jitu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Pesta Frontliner 2023 di Auditorium Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Tambahnya, sejajar dengan usaha pengorbanan barisan hadapan, ‘biasiswa frontliner’ Sarawak telah ditubuhkan bagi membantu petugas barisan hadapan dan bakal petugas barisan hadapan pada masa akan datang untuk meneruskan impian dan harapan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
“Program mahasiswa ini dibentuk untuk mengiktiraf dan menyokong sumber sumbangan luar biasa yang telah diberikan oleh para profesional penguatkuasa undang-undang dan anggota frontliner yang berkhidmat dengan cemerlang di negara kita.
“Ia bertujuan untuk memberikan peluang pembelajaran sepanjang hayat dan pendidikan tinggi kepada individu yang layak. Melalui biasiswa frontliner Sarawak kita akan menawarkan biasiswa penuh dan separuh kepada para profesional penguatkuasa undang-undang yang berkhidmat di Sarawak,” jelasnya lagi.
Turut hadir mantan Ketua Tadbir Pengarah Tadbir dan Logistik, Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat, Brigadier General Dato’ Nazrul Edgar Abdullah, Pengarah Eksekutif Regal International Group, Nicholas Wong, Pegawai Eksekutif Regal International Group, Dominic Su serta wakil-wakil agensi petugas tempatan yang terlibat.
Majlis turut diserikan dengan gimik perasmian dan penyerahan ‘mock cheque’ bernilai RM500,000 kepada Ketua Pegawai Eksekutif Saito College, Hoh Wing Onn dan sesi penyerahan cenderahati kepada wakil- wakil agensi yang hadir. -TVS