KUCHING, 9 Julai: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menekankan akan kepentingan mendaftarkan Harta Intelek (IP) selepas menjalankan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dalam industri benih.
Menurutnya, usahawan dan penyelidik perlu mendafar IP bagi mendapatkan hak ke atas benih tersebut dan mengelakkannya daripada diambil pihak lain.
“Sebaik sahaja anda mendapat hasil penyelidikan anda, anda mesti mendaftar IP anda atau orang lain akan memilikinya.
“Contohnya kalau kita lihat New Zealand terkenal dengan buah kiwi tetapi mereka tidak mendaftar IP, dan akibatnya negara lain mengeluarkan buah kiwi dan mendaftarkan IP.
“Dalam erti kata lain, aktiviti R&D dan penemuan yang anda buat mesti dirujuk kepada peguam yang pakar dalam IP agar anda didaftarkan dan kemudian anda menjadi pengeluar untuk benih tanaman tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi dialog Sunday Morning with Premier 2.0 bersama usahawan-usahawan Sarawak di sebuah hotel di sini, hari ini.
Sementara itu, Abang Johari memberitahu bahawa Kerajaan Sarawak menjalinkan kerjasama dengan industri penanaman padi dan telah menyediakan geran benih bagi membolehkan petani menanam padi yang boleh ditanam dan dituai tiga kali dalam tempoh 18 bulan.
Jelas Abang Johari, menerusi kerjasama itu ia akan membawa hasil yang lebih banyak dan pada masa sama akan meningkatkan pendapatan petani padi di negeri ini. – TVS