LIMBANG, 9 Julai: Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail berharap agar Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak dapat melaksana kerja-kerja menaiktaraf dan menyelenggara kemudahan sukan di utara negeri ini pada tahun ini.
Beliau menjelaskan perkara itu sudah dikemukakan kepada kementerian terbabit susulan banyak kemudahan sukan yang ada khususnya di daerah berkenaan yang rosak dan perlu ditambahbaik.
Katanya, kemudahan sukan ini sangat penting dan venue utama bagi penganjuran program kesukanan sama ada peringkat daerah, bahagian, negeri mahupun kebangsaan selain memastikan ia dapat dimanfaatkan untuk rakyat bersukan.
“Seperti mana yang telahpun saya suarakan beberapa kali kemudahan-kemudahan sukan yang sedia ada di Limbang ini sekarang ini kebanyakan dalam keadaan daif, terutamanya Kompleks Sukan dan juga Stadium Tertutup.
“Saya telahpun berhubung dengan Kementerian Belia dan Sukan Sarawak dan bercakap dengan setiausaha tetap dan mereka mengatakan bahawa kemudahan sukan untuk Limbang ini mendapat keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penutupan Karnival E-Sukan di Dewan Kampung Bunga Raya di sini, hari ini.
Turut sama pada program itu ialah wakil Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Limbang, Zaini Abdul Talib dan Pengerusi Kelab Sukan Elektronik Bobook Limbang, Amirol Azizi atau Abim.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu berkata, beliau sudah beberapa kali mengadukan masalah berkenaan kepada pihak berkenaan untuk diambil tindakan.
Selain itu katanya, kementerian terbabit perlu melihat sendiri kemudahan sukan yang perlu dibaik pulih sekali gus memastikan kemudahan sukan di Limbang dalam keadaan terbaik.
“Saya berharap usaha membaiki kemudahan ini dapat dilaksanakan pada tahun ini juga, terutamanya kompleks sukan dan bukan saja ia tidak sesuai untuk pemain-pemain, tapi ia juga memberi gambaran yang tidak baik dan kita pun merasa seganlah dengan keadaan sebegitu,” katanya lagi. – TVS