Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Asian female staff in a safety jacket and helmet holds a walkie-talkie, managing inventory in a warehouse
Pindaan itu termasuk penambahan cuti bersalin daripada 60 kepada 98 hari, peruntukan baharu untuk cuti bapa selama tujuh hari, pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 kepada 45 jam, dan peruntukan baharu terhadap gangguan seksual. Foto hiasan: Envato

Draf pindaan Ordinan Buruh Sarawak diserah awal Ogos ini

ByAmirah Shawel

KUCHING, 9 Julai: Kerajaan Sarawak akan menyerahkan draf pindaan bagi Ordinan Buruh Sarawak kepada Kementerian Sumber Manusia awal Ogos ini, menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala.

Katanya, pindaan tersebut akan dimasukkan ke dalam Akta Pekerjaan (Akta 265) seperti yang telah dipersetujui Kabinet Negeri, termasuk undang-undang berkenaan Standard Perumahan Minimun untuk pekerja.

“Pindaan itu termasuk penambahan cuti bersalin daripada 60 kepada 98 hari, peruntukan baharu untuk cuti bapa selama tujuh hari, pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 kepada 45 jam, dan peruntukan baharu terhadap gangguan seksual,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, Kerajaan Sarawak juga telah mendapat input daripada pelbagai pihak berkepentingan seperti wakil pekerja dan majikan, organisasi industri, kementerian dan agensi berkaitan pindaan tersebut.

Namun, beliau memaklumkan perbincangan lanjut perlu dilaksanakan bersama Kementerian Sumber Manusia dan Peguam Negara Persekutuan bagi membincangkan tentang peruntukan dalam draf pindaan itu.

“Kami menyasar untuk mencapai keputusan mengenai beberapa peruntukan ini pada awal Ogos, kemudian draf pindaan akan diserahkan kepada Kementerian Sumber Manusia.

“Kementerian itu akan meminta Peguam Negara Persekutuan untuk menyediakan Rang Undang-undang Pindaan untuk dibentangkan di Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Gabungan Reformasi Undang-Undang Buruh (LLRC) Sabah dan Sarawak yang menyeru Kerajaan Sarawak untuk melaksanakan perlindungan terhadap pekerja di negeri itu sama seperti di Semenanjung Malaysia.

Menurut LLRC Sabah dan Sarawak, pekerja di Kelantan mampu menikmati faedah dan perlindungan yang lebih baik berbanding pekerja di Sarawak, meskipun telah diumumkan sebagai negeri berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia.

Pindaan yang lebih baharu terhadap akta itu akan memperkenal penambahbaikan dalam meningkatkan hak pekerja kepada standard antarabangsa. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan