TANJONG MANIS, 8 Julai: Kerajaan Persekutuan meluluskan pelaksanaan sebanyak tujuh projek baharu di kawasan Parlimen Tanjong Manis yang melibatkan peruntukan berjumlah RM200,000.
Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abd Wahab berkata, peruntukan khas itu telah diluluskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menurutnya ia merangkumi tujuh projek antaranya, kerja membaik pulih jambatan, baik pulih gelanggang futsal, naik taraf perkarangan rumah panjang dan lain–lain lagi.
“Projek tersebut melibatkan dua projek di daerah Tanjung manis, satu di daerah Daro dan empat di Daerah Sarikei. Saya difahamkan Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (HDO) sudah mengadakan lawatan tapak bagi menentukan skopnya,” katanya.
Beliau berkata kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Kursus Quick Win Bakeri dan Penyerahan Kit Peserta Anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau berharap projek yang bakal dilaksanakan itu memberi manfaat kepada rakyat yang sebahagian besarnya di kawasan luar bandar.
Pada masa sama katanya, pelaksanaan kesemua projek berkenaan membuktikan komitmen dan kesungguhan kerajaan dalam membantu rakyat.
“Projek kecil tapi melibatkan kebanyakan kawasan luar bandar, kampung dan juga rumah panjang yang sememangnya sangat diperlukan oleh rakyat di kawasan tersebut.
“Ini adalah selain daripada Projek Mesra Rakyat (PMR), untuk setiap ahli parlimen yang keseluruhannya bernilai RM2 juta yang diluluskan Kerajaan Perpaduan,” katanya. – TVS