Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dr. Abdul Rahman menyampaikan watikah pelantikan jawatankuasa induk Persatuan Foochow Limbang kepada Chin Heng disaksikan tetamu lain. Foto: TVS.

Persatuan, NGO perlu kukuhkan kesatuan hadapi cabaran dunia – Dr. Rahman

LIMBANG, 8 Julai: Semua persatuan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang ada di Sarawak perlu mengukuhkan kesatuan dalam menghadapi cabaran dunia yang semakin mencabar, selain bersama-sama membangunkan negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail berkata, mereka juga perlu mengelak daripada bergaduh dan berkelahi sesama sendiri yang hanya merugikan persatuan itu sendiri.

Jelas Dr. Abdul Rahman yang juga Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, persatuan dan NGO di negeri ini mempunyai peranan dan sumbangan besar terhadap pembangunan sosial, ekonomi dan negara.

Malah katanya, kerajaan sentiasa mengiktiraf peranan dan sumbangan NGO dalam usaha membina dan membangunkan negara.

“Semakin banyak cabaran yang kita hadapi kalau kita bergaduh berkelahi, kita tidak ada masa untuk membangunkan negara, lebih-lebih lagi cabarannya amat-amat hebat, ekonomi dunia, harga barang naik, perkhidmatan naik, tapi ringgit Malaysia turun dan sebagainya. Jadi kita kena bersatu padu,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Ibu Bapa dan Majlis Angkat Sumpah Ahli Jawatankuasa Induk Ke-47 Persatuan Foochow Limbang di Dewan Suarah Limbang hari ini.

Hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Pengelola Program, Ngu Tiong Hui, Pengerusi Persatuan Foochow Limbang, Wong Chin Heng dan tetamu kenamaan lain.

Dr. Abdul Rahman berkata, setiap persatuan dan NGO yang ditubuhkan mempunyai peranan besar dalam menjaga kepentingan mereka.

Pada masa sama setiap persatuan yang ada perlu mengembleng usaha bersama-sama menjayakan hasrat menjadikan Sarawak negeri maju 2030 selain menyumbang kepada pembangunan untuk daerah Limbang, Sarawak dan Malaysia.

“Persatuan ini tujuannya adalah untuk menjaga kebajikan bukan untuk kita bersaing dan kita di Sarawak terkenal banyak bangsa tapi kita hidup rukun damai, bersatu padu antara satu dengan yang lain.

“Ini perlulah kita kekalkan, supaya tumpuan kita yang lebih penting adalah untuk membangunkan tempat kita,” ujarnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan