KUCHING, 8 Julai: Rakyat Sarawak khususnya generasi muda digalakkan menguasai Bahasa Inggeris dan Mandarin selain fasih berbahasa ibunda yang boleh memberi nilai tambah kepada mereka.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut menekankan kepentingan dalam mengangkat dan menambah baik bakat anak Sarawak dalam sektor pendidikan.
Jelasnya, wujud golongan pelajar pintar yang tidak layak melanjutkan pelajaran kerana memiliki Pensijilan Peperiksaan Bersatu (UEC) berbanding Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Pendidikan dan penguasaan bahasa adalah kunci kepada pembangunan bakat belia, dan Sarawak mengiktiraf UEC yang diguna pakai di universiti-universiti tertentu di luar negara.
“Kita mempunyai sekolah menengah Cina persendirian yang boleh menghasilkan barisan pelajar yang layak untuk melanjutkan pelajaran dalam universiti tersebut. Dengan ini, barulah kita mempunyai aliran keluar pelajar pintar kita ke tempat baharu,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di sini, hari ini.
Untuk rekod, UEC tidak diiktiraf di peringkat kebangsaan dan Sarawak satu-satunya negeri yang mengiktiraf sijil tersebut yang diguna pakai di sekolah menengah persendirian Cina.
Kerajaan Sarawak telah menyediakan geran tahunan untuk membiayai 14 sekolah menengah persendirian Cina sejak 2014. – TVS