PUNCAK BORNEO, 8 Julai: Menjalani hukuman di pusat tahanan khas seolah menetapkan status para pesalah juvana sebagai anak muda yang bermasalah serta tidak diyakini mampu berubah memiliki masa depan yang baik.
Demikian kepahitan yang perlu ditempuh golongan itu yang terpaksa menahan kesedihan apabila kesalahan silam mereka terus dipandang serong oleh masyarakat yang sukar untuk menerima mereka kembali.
Namun begitu situasi itu tidak akan mematahkan semangat mereka meskipun masih menjalani hukuman di pusat tahanan khas, meskipun stigma negatif terhadap mereka menebal.
Terdapat segelintir daripada mereka ketika ditemui penulis semasa mengunjungi Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo pada bulan lalu kelihatan berusaha mengubah stigma itu menerusi penglibatan dalam sukan tinju.
Menurut salah seorang penghuni sekolah itu, Anthony Ingkom, (bukan nama sebenar), 18, yang kini memasuki tahun ketiga di sekolah berkenaan mengakui penglibatannya dalam sukan tinju bukan bertujuan membersihkan nama, tetapi sebaliknya mahu menyumbang serta berbakti kepada Sarawak dan negara.
“Saya masuk sini di bawah Seksyen 376 (1) kerana merogol teman wanita. Pada awalnya bila saya masuk dalam ini, saya belum kenal sukan ini tetapi tidak lama kemudian apabila mengenali sukan ini, saya jatuh cinta dengan sukan ini.
“Dekat luar sana saya suka bergaduh sebab saya panas baran, jadi apabila menyertai sukan ini, ia merupakan platform yang betul kepada saya untuk buktikan sesuatu,” katanya.
Anthony yang baharu sahaja menjinakkan diri dalam sukan itu berjaya meraih pencapaian cemerlang setelah bergelar juara dalam dua kejohahan remaja kebangsaan masing-masing di Kejohanan Tinju Piala Malaysia 2023 di Nilai, Negeri Sembilan dan Kejohanan Tinju Remaja Kebangsaan 2023 di Kuching baru-baru ini.
Turut senasib, Adam Arun (bukan nama sebenar), 18, yang berusaha keras menebus kesalahan silamnya apabila turut cemerlang meraih pencapaian sama seperti rakannya.
“Sokongan orang sekeliling membuatkan semangat lebih membara untuk berlatih tinju dan saya bercita-cita untuk mahu jadi peninju seperti Daeloniel Mcdelon.
“Walaupun penat membahagikan masa belajar dan berlatih, tetapi semangat saya kuat untuk teruskan.
“Impian saya satu hari nanti mahu mewakili negara di Sukan Komanwel. Dulu saya ada sejarah silam yang buruk, tetapi bila saya masuk sini saya mahu berubah dan membuka mata masyarakat mengenai pelajar Henry Gurney,” katanya.
Adam yang bakal dibebaskan bulan depan turut memasang impian untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan pengajian sains sukan di Universiti Awam (UA) setelah berjaya memperoleh keputusan baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Sementara itu, seorang lagi pesalah juvana, Emmanuel George (bukan nama sebenar), 19, yang dijatuhi hukuman selama tiga tahun dibawah Akta 414 kerana melupus barang curi merupakan antara produk sekolah itu yang berjaya mengharumkan nama Sarawak di peringkat kebangsaan.
“Saya berjaya dapat pingat emas di kejohanan di Nilai, Negeri Sembilan dan dapat perak pada kejohanan di Kuching.
“Saya nak wakili Malaysia, walaupun saya pernah buat salah tetapi saya berjanji kami di Henry Gurney boleh berjaya dan mempunyai masa depan yang cerah,” ujarnya.
Manakala, seorang lagi pesalah juvana, Adam Liew (bukan nama sebenar), 17, dari Kapit yang dijatuhi hukuman kerana terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah, memasang impian untuk beraksi di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) tahun depan dan berharap dia dan rakan senasib diberi peluang yang sama seperti atlet tinju di luar sana untuk mendapatkan peluang mewakili Sarawak.
“Saya juga mahu mewakili Malaysia sebab saya mahu membanggakan keluarga dan buka mata masyarakat bahawa Henry Gurney mampu melahirkan insan yang berjaya,” katanya.
Jelasnya, dia dan rakan-rakannya berlatih setiap hari sebagai persediaan bagi menghadapi pemilihan atlet tinju mewakili Sarawak pada SUKMA 2024 yang bakal berlangsung pada bulan depan.
Adam mengakui mewakili negeri kelahiran dan beraksi di laman sendiri merupakan impian setiap atlet lebih-lebih lagi atlet dari Henry Gurney.
Dalam pada itu, Sarjan Penjara, Helman Morni yang merupakan jurulatih sukan tinju Negeri Sarawak dan Pusat Pembangunan Sukan Tinju Sekolah Henry Gurney Penjara Puncak Borneo, menyifatkan atlet dari sekolah itu mempunyai keistimewaan dari segi mental dan disiplin berbanding atlet dari luar.
“Bagi saya, mereka ini istimewa disebabkan keberanian yang mereka miliki, psikologi, persediaan mental dan disiplin mereka yang sangat baik.
“Jadi, apa yang kami perlukan untuk lebih berjaya ialah peluang pendedahan pertandingan kepada petinju terutamanya melibatkan kejohanan luar sebab dari situ kita boleh nilai prestasi sebenar mereka,” jelasnya.
Menurut Helman, Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo telah berjaya melahirkan atlet tinju yang mewakili Sarawak dalam temasya SUKMA 2022 iaitu Muhamad Raffiq yang berjaya membutirkan kilauan perak.
Sehubungan, beliau berharap pihak berwajib dapat menghulurkan bantuan dari segi pemberian peruntukan untuk kegunaan penambahbaikan fasiliti dan pemakanan atlet dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet dari sekolah itu yang mewakili negeri dan negara.
Untuk rekod, Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo yang beroperasi sejak 2016 menempatkan seramai 120 pesalah juvana lelaki dari seluruh Sarawak atas pelbagai kesalahan. – TVS