Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Amar Douglas Uggah Embas (tengah) pada sambutan ulang tahun ke-61 Sekolah Kebangsaan Nanga Gayau di sini, pada Jumaat. Foto: Pejabat Timbalan Premier Sarawak

Beri galakan, inspirasi kepada pelajar luar bandar agar minat STEM – Uggah

ByHafeezzur Muzamir

BETONG, 8 Julai: Pelajar di luar bandar harus diberi galakan serta inspirasi bagi membantu mereka meminati mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) terutamanya di peringkat sekolah rendah.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sekiranya mereka cemerlang dalam mata pelajaran itu, ia membolehkan para pelajar meneruskan kerjaya dalam bidang teknikal sekali gus dapat menampung keperluan negeri yang semakin meningkat untuk tenaga kerja dalam bidang berkenaan.

“Dalam bidang teknikal, peluang pekerjaan baharu akan menjadi banyak.

“Secara keseluruhannya, Sarawak menerima perdagangan karbon berorientasikan teknikal, hijau, digital dan ekonomi hidrogen tidak lama lagi.

“Beberapa hari yang lepas, saya sempat berbual dengan Ketua Pegawai Eksekutif Petroleum Sarawak Berhad (Petros) Janin Girie di Kuching dan beliau memberitahu bahawa Petros memerlukan antara 20,000 hingga 30,000 juruteknik menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan ulang tahun ke-61 Sekolah Kebangsaan Nanga Gayau di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Uggah berkata pelajar luar bandar tidak seharusnya beranggapan bahawa subjek STEM sebagai mata pelajaran yang sukar.

“Jika pelajar lain boleh melakukannya dengan baik, saya pasti anda juga boleh cemerlang dalam bidang itu.

“Jadi saya berharap guru-guru di peringkat sekolah rendah akan mengambil usaha tambahan untuk memotivasikan pelajar mereka untuk menyukai mata pelajaran STEM dan ke arah aliran sains dalam pendidikan lanjutan mereka.

“Ini merupakan langkah penting untuk memupuk minat dan pembangunan bakat mereka,” ujarnya.

Majlis turut menyaksikan Uggah menyempurnakan simbolik perasmian blok bangunan baharu sekolah berkenaan yang bernilai RM7 juta, dibina di bawah peruntukan RM1 bilion untuk membaiki sekolah usang di negeri ini.

Selain itu, Uggah juga turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 untuk membeli lebih banyak buku baharu untuk perpustakaan sekolah berkenaan, selain RM10,000 lagi untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Manakala, geran sebanyak RM100,000 diperuntukkan untuk menaik taraf kemudahan sekolah dan alat bantu mengajar.

Sementara itu, Ahli Parlimen Betong Dr. Richard Rapu turut menasihatkan ibu bapa di kawasan luar bandar untuk terus membenarkan anak-anak mereka tinggal di asrama sekolah.

“Sebagai penghuni asrama, anak-anak anda akan mendapat manfaat daripada pengurusan masa yang lebih baik sama ada untuk belajar, makan dan aktiviti kokurikulum.

“Mereka akan didedahkan kepada disiplin yang lebih baik dan mereka tidak akan terganggu daripada urusan teras mereka iaitu belajar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan sumbangan RM5,000 kepada PIBG sekolah Sekolah Kebangsaan Nanga Gayau. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan