BATU NIAH, 8 Julai: Enam individu terselamat selepas dua buah kenderaan dinaiki mereka bertembung dan terbakar di Jalan Bekelit Ulu di sini, pagi tadi.
Pasukan Bomba dan Penyelamat Batu Niah yang hadir ke lokasi kejadian bagaimanapun mengesahkan insiden tersebut tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa.
Ketua Bomba dan Penyelamat Batu Niah, Pegawai Bomba Tinggi (PBT II) Rary Binjie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kes itu pada jam 11.21 pagi.
“Setibanya ditempat kejadian, mendapati kebakaran melibatkan sebuah kereta Perodua Myvi telah bertembung dengan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux Single Cab sebelum kedua-dua kenderaan terbakar.
“Terdapat empat penumpang berusia antara 11 hingga 45 tahun yang menaiki kereta Perodua Myvi manakala Toyota Hilux yang membawa muatan sawit dinaiki sepasang suami isteri berusia 65 dan 63 tahun,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, pemandu kereta Perodua Myvi dan seorang penumpang 4WD terbabit telah dibawa ke klinik berdekatan oleh orang awam.
Rary berkata, kerja-kerja menyelamat mangsa turut dibantu oleh pekerja Lebuhraya Pan borneo yang kebetulan berada di lokasi kejadian.
“Pasukan keluaran operasi telah membuat size-up dengan menggunakan PPE lengkap dan menggunakan satu salur bantu mula air dari tangki jentera untuk memadam kebakaran sehingga selesai.
“Kedua-dua kenderaan telah terbakar 100 peratus. Operasi pemadaman tamat pada jam 12.33 tengah hari dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – TVS