JAKARTA, 8 Julai: Banjir kilat berupa aliran lava sejuk dari Gunung Semeru akibat hujan, melanda kawasan Lumajang, Jawa Timur menyebabkan enam jambatan runtuh di situ, semalam.
Banjir itu turut menyebabkan sekurang-kurangnya 571 penduduk terjejas terpaksa dipindahkan kerana rumah mereka musnah akibat banjir.
Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Lumajang turut melaporkan hujan lebat itu mencetuskan tanah runtuh di beberapa lokasi dan menyebabkan tiga kematian akibat rumah mereka yang runtuh tertimbus.
Menurut Ketua BPBD Lumajang Patria Dwi Hastiadi, hujan sejak dua hari lalu mengakibatkan bencana teruk di seluruh kawasan Lumajang.
“Sudah dua hari hujan turun dengan lebat, sehingga banjir kilat lahar sejuk, memusnahkan jambatan dan berpuluh-puluh rumah, malah tanah runtuh turut berlaku akibat hujan itu,” katanya.
Sebagai usaha mempercepatkan respons kecemasan di lokasi terjejas, kerajaan tempatan mengisytiharkan darurat bencana.
Beliau turut meminta orang ramai bersiap sedia menghadapi potensi bencana yang mungkin berlaku akibat hujan berterusan di kawasan itu. – TVS