KUCHING, 6 Julai: Pengamal media diminta berhati-hati dalam memberikan laporan yang membabitkan tragedi yang berlaku kerana ia percayai mampu memberikan kesan tekanan mental kepada pembaca terutama golongan pesakit mental.
Pandangan itu disampaikan oleh wartawan Nikkei Asia, Norman Goh sambil menambah, ada etika kewartawanan yang harus dipatuhi pengamal media ketika membuat laporan termasuk menjaga sensitiviti mangsa, keluarga dan golongan yang terlibat dalam sesuatu tragedi terutama kes membunuh diri dan kematian.
Katanya, ada pembaca khususnya mereka yang menghidap penyakit mental yang akan terkesan dengan berita terlalu terperinci yang ditulis pengamal media termasuk gambar mangsa dan lokasi kejadian.
“Salah seorang rakan saya terkesan dengan laporan yang dipapar dan disiarkan sebuah akhbar tempatan. Apabila kami telefon, dia tidak mahu menjawab, kami hubungi melalui media sosial, dia tidak membalas dan kami terpaksa menghubungi unit kecemasan Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) untuk memastikan dia tidak apa-apa.
“Ya kita menerima laporan lengkap daripada polis. Adakah perlu kita melaporkan semua perkara? Tidak perlu. Kita boleh ubah kerana kuasa itu ada didalam tangan kita sebagai seorang wartawan. Kita adalah gatekeepers of the information,” katanya.
Norman memberikan pandangan demikian selaku ahli panel program Let’s Talk Content, Breaking News Breaking Minds, The Trauma of Media Coverage and Mental Health di sini, hari ini.
Antara yang hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol dan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Sarawak, Adiman Ajem.
Selain Norman, program bual bicara tersebut turut menjemput Pengasas Awareness Against Suicide (AWAS) Alia Ali dan Pakar Psikitri Hospital Miri Dr. Ravivarma Rao untuk berkongsi pandangan mengenai kesan laporan media kepada pesakit mental.
Pada program yang berlangsung selama dua jam bermula dari 11 pagi itu, Dr Ravivarma Rao turut menyeru orang ramai yang mempunyai kenalan pesakit mental supaya menjadi pendengar yang setia tanpa memberi apa-apa nasihat.
“Berikan mereka satu ruang untuk membolehkan mereka bercerita, mereka boleh luahkan perasaan, mereka boleh bercakap apa yang tidak ‘okay’ dan itu akan membantu menenangkan mereka sedikit,” katanya. – TVS