Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Azizul Zekri Abd Rahim pada sidang media sempena kunjungan hormat daripada FSJA dan pengamal media dari Sarawak di Pejabat Walikota Pontianak. Foto: Fiqri Razak (TVS).

Perkukuh kerjasama dalam sektor perubatan, pelancongan antara Sarawak-Kalimantan

ByFebbright James

PONTIANAK, 6 Julai: Sarawak dan Pontianak, Indonesia sedang meneliti pelbagai kaedah untuk memperkasakan kerjasama dalam sektor perubatan dan pelancongan.

Konsul Malaysia di Pontianak, Azizul Zekri Abd Rahim berkata pihak konsulat Malaysia sedang giat mempromosikan dua sektor berkenaan yang menerima sambutan positif rakyat di kedua-dua negara.

“Sarawak dan Pontianak sering melengkapi dalam usaha mempromosikan kedua-dua sektor ini berikutan kerjasamanya yang memberangsangkan.

“Misalnya, Pontianak bakal memiliki tebingan sungai (waterfront) yang mengambil inspirasi dari Tebingan Kuching. Ini akan memacu lagi pertumbuhan pelancongan untuk kedua-kedua negara dengan pelbagai aktiviti dianjurkan kelak.

“Kita di Konsulat Malaysia giat mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan berasaskan perubatan (medical tourism). Tahun lepas bermula April sehingga Disember, Sarawak merekodkan lebih 200,000 pelancong dari Pontianak yang datang ke Sarawak dengan pelbagai tujuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena kunjungan hormat daripada Persekutuan Persatuan Wartawan Sarawak (FSJA) dan pengamal media dari Sarawak di Pejabat Walikota Pontianak, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kewujudan jalan perhubungan darat antara Sarawak dan Pontianak dilihat dapat menyemarakkan lagi pembangunan dan aktiviti mempromosikan sektor pelancongan di kedua-dua tempat.

“Kita boleh bekerjasama bangunkan perbatasan Indonesia-Sarawak misalnya di Lundu dan Telok Melano,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut berharap agar mendapat maklum balas daripada pemerintah Indonesia berhubung pertimbangan untuk mewujudkan laluan penerbangan dari Sarawak-Pontianak dan Kuala Lumpur-Pontianak.

“Kewujudan laluan penerbangan ini bukan sahaja merancakkan sektor pelancongan tapi juga memacu pertumbuhan ekonomi di kedua-dua tempat,” jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau turut berkata kesedaran tentang pentingnya hubungan diplomatik antara kedua-dua negara mula disemai di peringkat sekolah dengan penglibatan golongan muda.

“Kita percaya anak muda perlu memahami erti jalinan hubungan diplomatik antara negara. Oleh itu pelbagai aktiviti dan pertandingan diadakan di peringkat sekolah untuk menyemai kesedaran ini,” tambahnya.

Turut hadir pada kunjungan hormat terhadap Datuk Bandar Pontianak, Edi Rusdi Kamtono tersebut ialah Presiden FSJA Andy Jong Wan Joon dan Naib Presiden II Jacqueline R. David dan Pegawai Protokol dan Seksyen Konsul dari Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Alexandri Legawa. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan