KEPALA BATAS, 6 Julai: Golongan lelaki yang menyedari dirinya menjadi mangsa gangguan seksual diminta tidak malu untuk membuat laporan, ujar Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri.
Nancy berkata, ia bagi memastikan golongan itu mendapat bantuan sama adil seperti mana mangsa perempuan yang lebih banyak membuat laporan.
“Mungkin ada lelaki rasa dia teruja (diganggu secara seksual) tetapi sebenarnya mereka terganggu.
“Mereka (lelaki) juga manusia dan atas sebab itu kita turut memberi penekanan terhadap golongan ini (supaya tidak takut lapor jika menjadi mangsa gangguan seksual),” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Jerayawara Kasih KPWKM @ Advokasi Antigangguan Seksual di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri KPWKM, Aiman Athirah Sabu; Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Chong Eng dan Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr. Maziah Che Yusof.
Program jelajah ke seluruh negara itu bermatlamat memberikan pendedahan, pengetahuan dan menyebarluaskan pemakaian garis panduan dan notis anti gangguan seksual kepada masyarakat.
Sementara itu, Nancy berkata, isu gangguan seksual harus ditangani kerana boleh mendorong kepada jenayah seksual yang lebih serius.
“Kesannya terhadap mangsa adalah sangat negatif termasuk trauma dan ketakutan berpanjangan.
“Kita berharap dengan jelajah ini dapat memberi kesedaran dan panduan untuk mereka yang menjadi mangsa tidak kira lelaki atau perempuan tampil membuat laporan,” katanya.
Ujar beliau statsistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kes gangguan seksual kedua-dua jantina dilaporkan meningkat dari 378 kes pada 2020 kepada 506 kes pada 2021. – TVS