PONTIANAK, 6 Julai : Sekumpulan 15 pengamal media Persatuan Wartawan Persekutuan Sarawak (FSJA) mengadakan lawatan empat hari ke Pontianak, Indonesia bermula 5 hingga 8 Julai 2023.
Kumpulan yang diketuai oleh Presiden FSJA Andy Jong Wan Joon dan Naib Presiden II Jacqueline R. David itu disertai wakil agensi media tempatan iaitu TVS, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Bernama, RTM, TV3, Sin Chew Daily, Borneo Post, Suara Sarawak, DayakDaily dan Utusan Malaysia.
FSJA dalam satu kenyataan memaklumkan lawatan tersebut turut disertai Alexandri Legawa, Pegawai Protokol dan Seksyen Konsul dari Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kuching.
“Dalam lawatan tersebut, rombongan dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Gabenor Kalimantan Barat, Sutarmidji M.Hum.
“Antara aturcara yang lain ialah mengadakan kunjungan hormat ke atas Datuk Bandar Pontianak, Bapak Ir. H. Edi Rusdi Kamtono MM MT, diikuti dengan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara FSJA dan Persatuan Wartawan Indonesia (PWI) Kalimantan Barat,” katanya.
Selain itu, rombongan dijangka akan bertemu dengan Konsulat Malaysia di Pontianak iaitu Konsul Malaysia, Azizul Zekri Abd Rahim, untuk mengacarakan jamuan minum petang bersama media. – TVS