KUCHING, 6 Julai: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini menerima kunjungan hormat daripada rombongan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) di Wisma Bapa Malaysia, di sini.
Rombongan itu diketuai Ketua Pegawai Eksekutif DBOS, Datu Laura Lee Ngien Hion dan pengerusinya, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani yang turut disertai pengarah-pengarah, Dato Christopher Adrian, Datu Abang Halmi Ikhwan dan Peter Chin Mui Khiong.
DBOS ditubuhkan pada 11 Mei 2017 yang diwujudkan untuk membangunkan ekonomi digital negeri setelah dipersetujui dan diluluskan oleh Bank Negara Malaysia di bawah Institusi Kewangan Pembangunan bagi menyediakan pelbagai kemudahan, antaranya pinjaman dan kemudahan kredit pusingan untuk pembiayaan modal kerja.
Bank tersebut berperanan menyediakan dana bagi membiayai pelaksanaan beberapa projek strategik negeri dalam usaha mengejar pelan transformasi sosioekonomi Sarawak.
Objektif utama bank berkenaan adalah memberi fokus bagi perlaksanaan beberapa projek untuk empat sektor utama di bawah projek strategik negeri iaitu sektor insfrastruktur ICT (ekonomi digital), sektor tenaga, sektor pengangkutan awam urban dan sektor perkhidmatan. – TVS