Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Tadika SeDidik Long Leng. Foto: UKAS

Sinar baharu dalam bidang pendidikan generasi muda Penan

ByNur Suhaida Muliyono

MIRI, 5 Julai: Pembinaan Tadika SeDidik yang merangkumi beberapa perkampungan masyarakat Penan di kawasan Apoh-Tutoh memberi sinar baharu dalam bidang pendidikan kepada penduduk di kawasan pedalaman Sarawak itu.

Melalui Tadika berkenaan, anak-anak Penan di kawasan tersebut akan mendapat pendidikan awal seawal usia empat tahun, sekali gus menjadi penyumbang utama kepada pembangunan modal insan, malah guru yang mendidik turut dipilih daripada masyarakat Penan itu sendiri.

Menurut guru di Tadika SeDidik Penan Long Leng, Setiawan Maister, dia berbesar hati apabila dilantik sebagai guru pertama yang mengajar di Tadika berkenaan.

Beliau kini sedang melanjutkan pengajian dalam program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak di sebuah universiti tempatan di Miri.

“Saya sangat bersyukur kerana pihak berwajib memberi sokongan kepada kami dalam usaha mengutamakan pendidikan serta memberi kesedaran dalam komuniti kami (Penan) dalam pendidikan awal kanak-kanak,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian Tadika SeDidik Penan Long Leng, semalam.

Bagi pembantu guru tadika, Christie Nancy pula, dia berasa bangga dengan penubuhan Tadika tersebut dan berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak, selain turut berkongsi harapan agar lebih ramai anak-anak Penan berminat untuk menuntut ilmu.

“Harapan saya supaya lebih ramai anak-anak datang ke sekolah supaya dapat membuka minda mereka, supaya tidak ketinggalan dengan komuniti yang lain,” katanya.

Berkongsi kegembiraan, ibu kepada salah seorang anak murid Tadika SeDidik Penan Long Leng, Shirley Andrias berkata, kemudahan tersebut sedikit sebanyak merealisasikan impian ibu bapa untuk melihat anak-anak mereka mendapat pendidikan sewajarnya.

“Ia lebih baik berbanding kami dahulu yang tidak ada Tadika. Kami terus masuk ke darjah satu, tidak kenal ABC. Jadi dengan adanya Tadika SeDidik ini, anak-anak dapat belajar tentang asas pelajaran. Nanti kalau masuk darjah satu mereka sudah kenal ABC, sudah boleh menulis dan sebagainya,” jelasnya.

Sementara itu, Whitney Josely yang juga seorang ibu kepada anak murid tadika tersebut, meluahkan rasa syukur terhadap usaha kerajaan dalam menyediakan pendidikan terbaik buat masyarakat, khasnya di luar bandar.

“Kami sangat bersyukur sebab ada Tadika di sini. Kami sangat berterima kasih kepada kerajaan kerana sudah memberikan yang terbaik. Tadika ini juga memudahkan anak-anak untuk belajar dan tidak perlu pergi jauh. Kami (ibu bapa) juga senang (memantau) anak-anak,” katanya.

Tadika SeDidik Penan Long Leng dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kampung Long Leng Layun, Baram, semalam.

Sebanyak lima Tadika ditubuhkan di bawah seliaan SeDidik iaitu di Long Leng, Long Kawa, Long Jenalong, Long Kerangan dan Ba’Selulong yang menempatkan seramai 34 orang anak murid. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan