KOTA SAMARAHAN, 5 Julai: Seorang lelaki maut dalam kemalangan ketika melintas jalan di KM20, Jalan Dato Mohd Musa di sini awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Samarahan, DSP Brodie Brangka berkata polis sedang mengesan pemandu kenderaan yang melanggar mangsa berumur 57 tahun itu dalam insiden pada kira-kira 6.30 pagi.
“Semasa melintas jalan dari tengah pembahagi jalan, dipercayai mangsa telah dilanggar oleh sebuah kenderaan dengan nombor pendaftaran tidak dikenal pasti yang telah melarikan diri dari tempat kemalangan.
“Akibat dari kemalangan tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak KKM,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis memohon orang awam atau saksi yang melihat kejadian tersebut agar tampil memberi maklumat ke Balai Trafik IPD Kota Samarahan atau hubungi nombor telefon 082-662101.