SIBU, 5 Julai: Seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun cedera parah selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Batu 14, Jalan Sibu-Bintulu, pagi tadi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu, Penguasa Kanan Bomba (PgKB 1) Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 8.33 pagi.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibujaya dengan kekuatan lima anggota bomba menaiki FRT Scania digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi kejadian, komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Kancil dan Toyota Hilux,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, lelaki warga emas yang memandu kereta Perodua Kancil ditemui dalam keadaan cedera parah dan separuh sedar akibat tersepit di tempat duduk kereta manakala pemandu 4WD tidak mengalami kecederaan.
“Pasukan bomba dan penyelamat hanya mengambil masa tujuh minit untuk mengeluarkan pemandu kereta yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas.
“Mangsa kemudian berjaya dikeluarkan dan seterusnya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya.
Pasukan Keluaran Operasi (PKO) kemudian memastikan keadaan di lokasi kejadian selamat dan operasi ditamatkan pada jam 9.15 pagi. -TVS