SIBU, 5 Julai: Projek pembinaan jambatan baharu Nanga Meluan, Julau, menggembirakan penduduk di kawasan itu yang sebelum ini terpaksa menempuh laluan perjalanan yang panjang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Rolland Duat Jubin berkata, jambatan keluli itu memberi manfaat besar kepada lebih 2,000 orang penduduk 12 rumah panjang Ulu Mujok selain klinik dan sekolah.
Malah ujarnya, kemudahan yang dibina oleh Kerajaan Sarawak itu membawa impak yang sangat positif terhadap sosioekonomi setempat dan kawasan yang berhampiran.
“Pembinaan jambatan ini memendekkan tempoh masa perjalanan terutama bagi rakyat di pedalaman Ulu Mujok, kerana sebelum ini mengambil masa berjam-jam tetapi setelah siap jambatan ini, ia mengambil masa 40 minit,” katanya ketika ditemui media di sini, semalam.
Beliau juga menyifatkan jambatan itu sebagai nadi dan penghubung penting penduduk untuk ke pekan Julau dan tempat-tempat lain di Sarawak seperti Sibu, Sarikei dan Bintangor.
Pada masa yang sama katanya, ia juga mampu menjadi tarikan kepada pengunjung ke kawasan itu yang kaya dengan keindahan alam semula jadi, selain tempat bersejarah seperti Kubu Brooke Nanga Meluan.
“Bukan sahaja menaik taraf sosioekonomi, ia juga mampu menarik pelancong iaitu Kubu Brooke menjadi semakin terkenal. Semakin ramai pengunjung akan datang ke sini kerana mereka ingin melihat sendiri kedudukan Kubu Brooke kita.
“Tidak hanya sekadar itu, kawasan Ulu Mujok juga mempunyai banyak tarikan lain seperti air terjun, yang secara tidak langsung menjadi tarikan pengunjung sekali gus membuka peluang ekonomi kepada rakyat,” ujarnya.- TVS