LINGGA, 4 Julai: Penganjuran Regata Lingga merupakan strategi promosi pelancongan yang mampu mengangkat Daerah Lingga menjadi satu destinasi pelancongan di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, Regata Lingga dijadualkan berlangsung pada 8 hingga 10 Disember depan sekali gus merupakan penutup kepada Regatta Sarawak.
Tiang bendera berusia 100 tahun peninggalan Brooke di Lingga
“Kami memilih tarikh tersebut disebabkan kita nak jadi penutup kepada Regata Sarawak,” katanya ketika ditemui TVS selepas Majlis Menandatangani Kain Rentang, Tandatangan Cinta Sarawak di Waterfront Lingga, hari ini.
Menurutnya, menerusi pesta air itu akan mewujudkan satu suasana yang positif dengan penyertaan terbuka kepada semua.
“Menerusi penganjuran seperti ini saya percaya kawasan Lingga dan kawasan di sekitar ini menjadi tumpuan pengunjung luar datang ke sini, kerana pada tahun lepas kita menerima banyak pengunjung dan juga penyertaan dari kawasan luar Lingga.
“Harapan saya juga dengan penganjuran aktiviti ini, pengunjung luar mahupun masyarakat di sini akan memanfaatkan aktiviti-aktiviti sepanjang pesta ini berlangsung.” katanya. – TVS