IPOH, 4 Julai: Sebuah keluarga di Kuala Gula, Kuala Kurau dekat sini berdepan detik cemas apabila seorang lelaki bermotosikal melepaskan beberapa das tembakan ke arah rumah didiami mereka awal pagi tadi.
Bagaimanapun, kejadian kira-kira jam 3 pagi itu tidak menyebabkan kecederaan terhadap enam penghuni di rumah pengusaha kerang tersebut.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pemilik rumah berusia 56 tahun yang tinggal bersama isteri dan empat anaknya mendakwa terkejut selepas terdengar bunyi letupan dari luar rumah.
Ujarnya, pemeriksaan kemudiannya mendapati kesan tembakan pada kereta, motosikal dan pintu cermin rumah tersebut.
“Pemeriksaan polis turut menemui lima kelongsong peluru jenis Kaliber 9mm.
“Hasil siasatan mendapati suspek merupakan lelaki menunggang motosikal yang melepaskan beberapa das tembakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, polis ketika ini sedang menyiasat motif sebenar kejadian terbabit selain berusaha menjejaki suspek.
“Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian, Inspektor Mohd Zulhilmi Dahon di talian 013-260 4403 atau ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. – TVS