KOTA KINABALU, 4 Julai: Pendirian Kerajaan Persekutuan penting dalam menentang tuntutan waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah, kata Yang di – Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Beliau berkata, pendirian itu penting kerana masih ada segelintir pihak tidak mengambil serius tuntutan tersebut.
“Ini penting yang pertamanya untuk menyebarkan pendirian kerajaan kerana masih ada pihak mengatakan ini masalah Sabah, ini bukan masalah Sabah ini masalah Malaysia.
“Di Sabah ada sebahagian kecil sahaja dituntut yang memanggil diri mereka sebagai waris Sultan Sulu itu yang masih dipertikai. Bagaimanapun kita telah berjaya di beberapa peringkat di Madrid kita berjaya, di Paris kita berjaya,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Kolokium Timbang Tara Antarabangsa 2023 bertemakan Kedaulatan dan Kekebalan Negeri dalam Timbang Tara Komersial di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini, hari ini.
Tan Sri Wan Junaidi turut mengulas “Anugerah Akhir” yang dikeluarkan oleh Dr Gonzalo Stampa pada 28 Februari 2022 itu menyebabkan waris Kesultanan Sulu cuba menuntut Sabah di negara yang terlibat dengan Konvensyen New York 1958.
“Tetapi oleh kerana keadaan Konvensyen New York 1958 itu sendiri makanya keputusan yang dibuat Dr Gonzalo Stampa 2022 itu boleh dilaksanakan mana – mana negara itu yang kita tidak mahu,” katanya. – TVS