MIRI, 4 Julai: Kerajaan Sarawak akan memastikan semua kanak-kanak termasuk yang tinggal di kawasan pedalaman tidak tercicir mendapat pendidikan yang sewajarnya.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memberi pendidikan awal kepada masyarakat.
“Justeru, kita ingin melihat Tadika baharu ini  dimanfaatkan sepenuhnya komuniti setempat,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Tadika Sedidik Penan di Long Leng Layun, Baram, hari ini.
Mengulas mengenai tenaga pengajar di Tadika berkenaan, Fatimah berkata, guru yang dilantik merupakan orang tempatan bagi memupuk semangat dalam kalangan komuniti setempat.
“Guru-guru tersebut kini sedang melanjutkan pengajian dalam pengkhususan pendidikan awal kanak-kanak bagi mendapatkan kelayakan mengajar. Seorang guru sudah dapat diploma dalam pendidikan awal kanak-kanak manakala empat lagi belum. Mereka akan tamat mengikuti program tersebut pada 2025.
“Kita hendak pastikan akses kualiti dan ekuiti itu sentiasa ada. Jadi guru mestilah yang terlatih dan berkelayakan,” katanya.
Fatimah turut menyuarakan rasa puas hati beliau terhadap pembinaan bangunan Tadika tersebut yang setanding dengan Tadika lain di bandar.
“Ia memberikan keselesaan kepada anak-anak serta guru untuk menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran di Tadika tersebut, dari segi prasarana, persekitaran dan kemudahan asas saya berpuas hati.
“Elektrik ini menjadi satu cabaran kepada kita kerana kawasan jauh di pedalaman, kita perlu ada alternatif. Begitu juga dengan air,”ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, selain menekankan pembelajaran dalam kanak-kanak, ibu bapa juga berpeluang mendapat pendidikan supaya golongan dewasa celik huruf.
“Sudah tentulah cara mengajar mereka tidak akan sama dengan cara mengajar anak-anak kecil,” jelasnya.
Beliau turut mencadangkan agar kelas-kelas praktikal seperti kelas memasak dan kraftangan juga dijalankan dalam kalangan ibu bapa.
“Kita bawa ke satu tahap supaya produk mereka laris dan laku di pasaran. Kraftangan, kelas memasak. Apa yang ditanam mereka di rumah panjang akan dimasak untuk diberikan kepada anak-anak agar mereka mendapat makanan yang berkhasiat serta seimbang,” katanya.
Untuk rekod, terdapat lima buah Tadika ditubuhkan di bawah seliaan SeDidik iaitu di Long Leng, Long Kawa, Long Jenalong, Long Kerangan dan Ba’Selulong yang keseluruhannya menempatkan seramai 34 orang murid dari komuniti Penan di kawasan Apoh/Tutoh, Baram. – TVS