KUCHING, 4 Julai: Hampir 1,000 umat Islam sekitar bandaraya ini hadir bagi memeriahkan Majlis Forum Perdana bersempena Muktamar Masjid-Masjid Serantau 1444H/2023M yang berlangsung di Masjid Ikhwanul Islam, Taman Sukma, di sini, malam ini.
Forum yang bertemakan ‘Masjid Makmur Ummah Sejahtera’ itu turut dihadiri Mufti Sarawak, Datu Kipli Yassin yang juga merupakan salah seorang ahli panel jemputan forum berkenaan.
Forum Perdana tersebut dihoskan Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, Ustaz Khalidi Ibrahim yang juga merangkap Setiausaha Majlis Islam Sarawak.
Selain itu, ahli panel jemputan yang lain pula terdiri daripada Mufti Negeri Sabah, Datuk Ustaz Bungsu @ Aziz Jaafar dan Ketua Bahagian Umum, Masjid Istiqlal, Jakarta, Indonesia, Dr. H. Ismail Cawidu.
Hadir sama pada majlis tersebut, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha.
Inti pati Forum Perdana itu antara lain memberi penghayatan jitu terhadap kepentingan masjid dalam membentuk ummah yang sejahtera, seterusnya menatijahkan keharmonian di Bumi Kenyalang ini. -TVS