KUCHING, 4 Julai: Astana Negeri Sarawak bakal diubah menjadi sebuah muzium yang akan memaparkan kekayaan warisan budaya Sarawak.
Dalam sidang media berhubung Majlis Anugerah Seniman Sarawak 2023 di Bangunan Baitulmakmur pada hari ini, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mengumumkan bahawa rancangan untuk mengubah Astana Negeri Sarawak menjadi muzium telah dirancang dan diterima dengan baik oleh kerajaan negeri untuk menggantikan bangunan lama yang berusia lebih 100 tahun.
“Muzium Astana akan menjadi tempat mempamerkan banyak artifak yang berkaitan dengan Gabenor-gabenor terdahulu yang telah menyimpan hadiah-hadiah yang diberikan kepada mereka semasa menjawat sebagai Gabenor dan juga Yang di- Pertua Negeri lepas. Artifak-artifak ini dapat disimpan dan dipamerkan di galeri-galeri yang akan dibina nanti,” katanya.
Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai tarikh bermulanya projek tersebut, Abdul Karim mengakui bahawa ia adalah di bawah bidang kuasa Premier Sarawak dan bukan di bawah kementerian beliau, perancangan terperinci telah dibuat dan lokasi pembinaan Astana baharu juga telah dikenal pasti.
“Reka bentuk sudah ada. Saya percaya semuanya sudah dirancang dengan baik dan hanya menunggu masa untuk memulakan pembinaan, malah lokasi pun sudah dikenal pasti,” jelasnya lagi.
Beliau juga menambah bahawa pembinaan Astana baharu akan menjadi kebanggaan kepada Sarawak dan menjadi satu lagi tarikan pelancongan untuk negeri ini.
Walaupun ada pihak yang mungkin tidak bersetuju dengan pembangunan tersebut, beliau menegaskan bahawa pembinaan Astana baharu akan memberi manfaat dan meningkatkan kepentingan seni dan budaya Sarawak.
“Sesetengah pihak mungkin tidak akan bersetuju dan mengkritik pembangunan ini, dengan membandingkannya dengan kontroversi sebelumnya berkaitan dengan tiang bendera Sarawak baru-baru ini,” katanya.
Astana Negeri kini menjadi kediaman rasmi Yang di-Pertua Negeri yang dibina oleh Rajah Putih kedua, Charles Brooke pada 1870 dan ia adalah tapak asal kediaman rasmi sejak James Brooke diangkat sebagai pemerintah Sarawak pada 1841. Ia juga kini berada dalam keadaan lama.
Menurut laporan berita portal tempatan, bangunan baharu itu akan dibina di atas sebidang tanah antara Jalan Astana Lot dengan Taman Botani Sarawak , berkemungkinan besar di tapak rumah kelab Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) yang terbiar di Bukit Astana. – TVS