Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datin Azerina Mohd Arip dan Datin Noraini menunjukkan poster Larian Amal PERKIM Sarawak selepas sidang media. Foto: TVS.

PERKIM Sarawak sasar kutipan dana lebih RM100,000 melalui Larian Amal

ByDayu Adruce

KUCHING, 3 Julai: Larian amal anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Sarawak yang dijadualkan berlangsung pada 17 September ini di Ruang Legar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menyasarkan kutipan dana melebihi RM100,000.

Mengulas mengenai perkara itu, Naib Presiden 2 PERKIM Sarawak, Datin Noraini Husin berkata, dana yang terkumpul nanti akan disalurkan kepada 21 cawangan PERKIM Sarawak bagi melaksanakan tiga program yang menjadi teras PERKIM Sarawak bermula tahun ini sehingga 2027.

“Tiga program tersebut adalah pendidikan, kebajikan dan dakwah. Pada masa sekarang kita memberi sumbangan di peringkat cawangan tetapi tidaklah begitu banyak. Kita berharap kalau kita membuat program amal kita dapat memberi lebih kepada cawangan-cawangan.

“Kita faham di peringkat cawangan ada yang mampu berdiri sendiri tetapi ada juga yang tidak mampu terutama di luar bandar. Jadi kalau kita dapat meningkatkan jumlah dana kita, kita harap kita dapat membantu cawangan-cawangan melaksanakan program-program,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Larian Amal PERKIM Sarawak yang diadakan di hotel terkemuka di Kuching pagi tadi.

Antara yang hadir Pengerusi Larian Amal dan Kutipan Dana PERKIM Sarawak, Datin Azerina Mohd Arip, Bendahari Kehormat PERKIM Sarawak, Dayang Noraini Abang Zawawi dan dua  Ahli Jawatankuasa, Datin Airi Manan dan Hamdiah Sazali.

Selain larian fizikal, peserta juga boleh memilih untuk menyertai larian secara virtual yang bermula sebelum tarikh larian amal tersebut mengikut kesesuaian masa dan menghantar keputusan larian kepada urusetia untuk mendapatkan kit larian pada tarikh 17 September nanti di Ruang Legar MBKS

Dengan tema ‘beriadah sambil menderma’ peserta larian fizikal mahupun virtual boleh memilih tiga kategori bayaran penyertaan serendah RM25 hingga RM50.

Bagi larian secara fizikal dan virtual ia dibahagikan kepada dua kategori yang sama iaitu 5 kilometer (km) Fun Run dan 10 km Competitive Run.

Timbalan Menteri Ekonomi yang juga Pengerusi PERKIM Sarawak, Dato Hanifah Hajar Taib dijangka hadir bagi acara perlepasan larian amal tersebut. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan