KUCHING, 3 Julai: Kerajaan Persekutuan bercadang memperkenal bas henti-henti dan bas ekspres dalam memastikan ketersalinghubungan penduduk luar bandar di Sarawak dan Sabah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkhidmatan bas yang menghubungkan keseluruhan Lebuhraya Pan Borneo melalui negara Brunei Darussalam itu akan menjadi satu titik perubahan buat kedua-dua negeri ini.
“Kita akan mulakan di Sarawak pada bulan ini juga sebagai projek rintis dahulu, dari segi pengoperasian kita (Kerajaan Persekutuan) akan perincikan nanti,” katanya pada sidang media Mesyuarat Penyelarasan Projek-Projek Kemajuan Desa dan Negeri Sarawak.
Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, MARA Liner yang merupakan anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan menjalankan kajian terperinci dalam pelaksanaan projek rintis itu untuk kepentingan sosial masyarakat.
“Perkhidmatan bas itu nanti bukan berlandaskan keuntungan kepada syarikat berkenaan, namun pelaksanannya akan ditampung melalui pendapatan pengoperasian bas ekspres,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Timbalannya, Datuk Rubiah Wang berkata, lokasi pelaksanaan projek rintis telah dikenal pasti iaitu di kawasan Parlimen Kota Samarahan dan Santubong.
“Projek rintis akan dilaksanakan di Kampung Semilang dan Kampung Beradek terlebih dahulu dan seterusnya keseluruhan kawasan Parlimen Kota Samarahan dan Santubong,” katanya. -TVS