KUCHING, 3 Julai: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin isu melibatkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dengan Jabatan Imigresen Malaysia dapat diselesaikan dengan cara baik.
Menurutnya, beliau telah mendapatkan penjelasan daripada King Sing berhubung perkara itu dan akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Saya akan melakukan beberapa perbincangan dengan Menteri Dalam Negeri yang mana Jabatan Imigresen adalah di bawah beliau.
“Permasalahan seperti ini saya fikir boleh diselesaikan dengan cara yang baik melalui sistem pentadbiran yang ada,” katanya ketika diminta mengulas mengenainya pada sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan Projek-Projek Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Sarawak, di sini hari ini.
Hadir sama, dua Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Ahmad Zahid berkata lagi, isu ini akan dibawa ke mesyuarat Kabinet pada Rabu ini dan King Sing juga dijangka akan memberi penjelasan mengenai perkara itu.
Pada Khamis lalu, tular di media sosial tentang kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) apabila King Sing didakwa menceroboh masuk balai ketibaan antarabangsa selepas seorang pelawat China tidak dibenarkan masuk ke negara ini oleh Jabatan Imigresen.
King SIng menafikan tuduhan tersebut dan memaklumkan kehadirannya di KLIA adalah untuk menjalankan pemantauan berkenaan dakwaan salah laku dalam kalangan pegawai di lapangan terbang. – TVS