BETONG, 2 Julai: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluluskan beberapa projek pembangunan termasuk projek di Rumah Panjang Enteri Lengkoi Samu, Ulu Paku Betong.
Katanya, setiap projek yang dijanjikan adalah hutang yang perlu dibayar dan perlu dilaksanakan sesuai dengan peruntukan yang telah diagihkan.
Menurutnya, projek yang diluluskan itu merangkumi naik taraf Rumah Panjang Samu dengan kos RM1.5 juta, sistem pendawaian semula elektrik dengan kos RM750 juta serta dua lagi projek yang akan dikemukakan kepada kementerian yang berkaitan.
“Komitmen dan janji adalah hutang yang perlu dibayar, hutang saya kepada rumah panjang ini adalah untuk melaksanakan projek yang diminta. Untuk rumah panjang ini saya meluluskan RM1.5 juta bagi projek menaiktaraf rumah panjang RM750, 000 untuk projek pendawaian semula elektrik yang telah berusia lebih 30 tahun.
“Manakala untuk projek mencegah hakisan tanah akibat banjir, saya akan kemukakan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan projek pembesaran tempat letak kereta akan saya kemukakan kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Pengerami Ngiling Tikai Gawai Dayak di Rumah Enteri Lengkoi, Samu Ulu Paku Betong hari ini.
Katanya, perpaduan yang menjadi kekuatan hubungan antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Sarawak menjadi asas kepada kelulusan projek dapat diberikan dengan mudah.
Permohonan projek pembangunan di rumah panjang berkenaan dikemukakan oleh Datuk Seri Tan Sri Empiang Jabu bagi mewakili penduduk di rumah panjang berkenaan .
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, projek rumah panjang yang telah diluluskan di Rumah Panjang Samu mesti dilaksanakan sebelum Julai 2024.
“Saya mahu melihat dalam tempoh setahun peruntukan yang saya umumkan akan ditatakelolakan dengan sebaik-baiknya dan perlu dilaksanakan agar tidak berlaku ketirisan dan perbuatan rasuah,” ujarnya.
Sementara itu, Ahmad Zahid turut meluluskan projek Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (Pros-Pek) di Bahagian Betong sepeti yang dikemukakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Menurut Uggah, kewujudan PROSPEK di bahagian berkenaan dapat menyelesaikan beberapa isu termasuk pengangguran, kemiskinan dan meningkatkan pendapatan penduduk.
Untuk rekod, terdapat dua PROSPEK di Sarawak ketika ini iaitu di Matu dan di Lawas.-TVS