KUCHING, 2 Julai: Sarawak memerlukan lebih ramai atlet menerusi acara gimnastik pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, kira-kira 20 pingat ditawarkan dalam acara gimnastik artistik dan gimrama pada temasya edisi 2024 itu.
“Kita memerlukan lebih ramai atlet untuk mewakili Sarawak pada SUKMA 2024, untuk gimrama kita ada enam pingat, manakala gimnastik artistik, kita ada 14 pingat, kita harap dapat menghasilkan lebih banyak pingat tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pertandingan Penggredan Gimnastik Berirama 2023 anjuran Persatuan Gimnastik Amatur Sarawak (SAGYMA) di sini, hari ini.
Kerjasama antara persatuan dengan pihak sekolah memainkan peranan penting dalam membantu pembangunan atlet sukan.
Beliau yang juga Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak berharap agar lebih banyak jalinan kerjasama antara persatuan dan sekolah bagi melaksanakan pencarian bakat baharu.
“Di Sarawak kita mempunyai persatuan sukan yang boleh menjalinkan kerjasama dengan pihak sekolah dalam mencari bakat baharu.
“Pembangunan atlet bermula dari sekolah, yang kebanyakan atlet SUKMA adalah dalam kalangan pelajar sekolah,” katanya.
Untuk membangunkan atlet, Sarawak tidak mempunyai masalah dari segi fasiliti kerana akses yang lengkap serta menepati piawaian antarabangsa.-TVS