KUCHING, 2 Julai: Vokalis kumpulan Old Automatic Garbage (OAG) Muhammad Radhi Razali atau lebih dikenali sebagai Radhi OAG memberi bayangan bakal mengadakan konsert solo pertamanya di sini.
Menurut Radhi, 46, konsert solo itu akan menagih bakat pemuzik dari Sarawak sebagai memberi peluang kepada pemuzik tempatan untuk menjayakan konsert itu bersama.
“OAG dah buat konsert 30 tahun di Kuala Lumpur jadi Insya-Allah ada bayangan konsert Radhi OAG solo di Sarawak.
“Inilah masanya nak buat konsert dengan pemuzik dari Sarawak dan masyarakat yang kreatif di negeri ini,” ujar Radhi ketika ditemui TVS di sini, hari ini.
Katanya lagi, konsert itu akan diadakan pada tahun hadapan, bagaimanapun ia masih di peringkat perbincangan.
Dalam pada itu kata penyanyi kelahiran Sarawak itu lagi, beliau juga merancang untuk mengeluarkan single baharu bertajuk ‘idup’ hasil kerjasama dengan komposer dari Sarawak.
Ditanya mengenai status terkini ahli kumpulannya, Radhi menjawab kini beliau mahu memberi fokus terhadap konsert solonya.
“Saya menubuhkan OAG sejak 1992 dan sehingga sekarang saya masih di dalam OAG, saya akui ahli kumpulan memang ada yang datang dan pergi, jadi ketika ini saya berhasrat untuk fokus projek solo yang pertama di Sarawak,” kata Radhi lagi.
OAG muncul pada tahun 1992 merupakan band lagenda yang pernah menjadi fenomena sehingga nama mereka disebut-sebut dalam Malaysia, malah sehingga di beberapa buah negara luar kerana sambutan yang hangat peminat. -TVS