SARIKEI, 2 Julai: Penerima Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) perlu mengemukakan laporan sebagai bukti perbelanjaan peruntukan yang telah disalurkan kepada mereka.
Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab berkata, sumbangan geran MRP bertujuan membolehkan pertubuhan atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) melaksanakan segala aktiviti untuk manfaat bersama.
“Saya memohon dan menghargai sekiranya penerima geran MRP memberi laporan aktiviti, setelah menjalankan aktiviti seperti yang dirancangkan. Kita tidak meminta laporan dalam format yang begitu formal tetapi ada laporan sedikit serta gambar yang menceritakan aktiviti yang telah dijalankan,” katanya.
Beliau berkata kepada media selepas menyampaikan sumbangan geran MRP berjumlah RM207,000 kepada sebanyak 49 pertubuhan termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di kawasan Parlimen Tanjung Manis, semalam.
Katanya, bantuan MRP harus digunakan untuk keperluan yang penting bagi kesejahteraan dan pembangunan komuniti setempat dan sekiranya terdapat lebihan perlulah disimpan untuk keperluan pada masa akan datang.
“Laporan aktiviti dikemukakan supaya kita tahu bahawa peruntukan telah digunakan untuk aktiviti yang telah mereka rancang. Di pusat khidmat, kita ada menerima lawatan daripada pihak naziran dan pihak audit yang memohon untuk melihat laporan daripada aktiviti yang telah dijalankan oleh penerima-penerima geran MRP.
“Lebih senang bagi pihak kami untuk menjelaskan bahawa peruntukan yang telah disalurkan telah digunakan sepenuhnya untuk menjalankan aktiviti,” katanya lagi. -TVS