BINTULU, 2 Julai: Seorang pemuda lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang kemalangan dengan sebuah Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) di Jalan Chin Lee berhampiran lampu isyarat Jabatan Kerja Raya (JKR) Bintulu di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 1 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Sylvester Donny Henry, 21, menunggang motosikal Aveta, manakala pemandu MPV Toyota Unser warganegara Indonesia berusia 37 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 5, Penguasa Kanan Bomba (PgKB 1) Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan.
“Mangsa yang menunggang motosikal didapati berada di atas bumbung kenderaan Toyota Unser dan tidak sedarkan diri.
“Pihak bomba bertindak menurunkan mangsa dari atas bumbung kenderaan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, impak perlanggaran kedua-dua kenderaan telah mengakibatkan motosikal mangsa mengalami kerosakan teruk manakala bahagian hadapan Toyota Unser remuk.
“Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. -TVS