Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Fatimah Abdullah merakamkan gambar kenangan bersama ahli-ahli Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) pada kunjungan MDDM di kediamannya di Kuching, hari ini. Foto: TVS

KPWK komited realisasi Sarawak ke arah ‘Bandar Mesra Kanak-Kanak’

KUCHING, 2 Julai: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) terus komited dalam merealisasikan Sarawak ke arah ‘Bandar Mesra Kanak-Kanak’ sama seperti Petaling Jaya yang merupakan kawasan pertama dinobatkan sebagai bandar itu di negara ini.

Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, keperluan untuk mewujudkan bandar tersebut bukan sahaja di bandar, tetapi termasuklah kawasan luar bandar yang menjadi aspirasi dalam mencapai Sarawak yang maju dan makmur.

Jelas beliau, pihak kementeriannya bersama Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dalam persiapan mewujudkan Sarawak sebagai ‘Bandar Mesra Kanak-Kanak’ dengan mengadakan lawatan ke Petaling Jaya.

“Saya melihat keperluan untuk mewujudkan perkara ini. Hal ini kerana keselamatan kanak-kanak bukan saja merangkumi di kawasan bandar tetapi di semua tempat,” katanya ketika ditemui media pada kunjungan Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) di kediamannya di sini, hari ini.

Tambahnya, Sarawak perlu dibangunkan bertepatan dengan dasar-dasar  ‘Bandar Mesra Kanak-Kanak’ termasuklah persekitaran, infrastruktur dan bangunan, misalnya mewujudkan tandas dan sinki khas untuk kanak-kanak.

“Misalnya tandas untuk kanak-kanak kerana sekarang hanya ada tandas untuk orang dewasa tetapi untuk kanak-kanak mesti ada juga termasuklah ada tempat untuk kanak-kanak basuh tangan iaitu sinki yang lebih rendah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, ujar Fatimah yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, usaha untuk mewujudkan ‘Bandar Mesra Golongan Warga Emas’ bakal diteruskan setelah berjaya mewujudkan Sarawak sebagai ‘Bandar Mesra Kanak-Kanak’.

“Selepas itu, kita boleh meneruskan usaha untuk mewujudkan ‘Bandar Mesra Golongan Warga Emas’ seperti mewujudkan kemudahan untuk warga emas bergerak dari satu tempat ke tempat lain dan banyak lagi,” ujarnya.

“Sarawak perlu maju dalam semua aspek termasuk ekonomi, pembangunan dan sosial agar Sarawak menjadi negeri yang bahagia, kondusif dan selamat untuk semua lapisan masyarakat,” jelasnya.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, Wali Kota MDDM, Kaunselor Aini Suhaili dan ahli-ahli MDDM yang lain.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan