LIMBANG, 2 Julai: Hasrat ingin membantu masyarakat dalam kesusahan dan satu badan yang berdisiplin mendorong seorang remaja wanita untuk menyertai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Limbang sebagai anggota sukarelawan.
Siti Norbalqis Wahab,18, berasal dari Kampung Buang Abai merupakan anggota APM termuda begitu teruja menjadi sebahagian daripada ‘keluarga besar’ APM Limbang.
Dia merupakan antara 51 peserta yang menyertai Kursus Asas Siri Satu 2023 di Pejabat Pertahanan Awam Daerah Limbang semalam.
“Saya memang meminati kerjaya ini, anggota APM ini merupakan satu badan yang berdisiplin dan membantu ramai orang yang dalam kesusahan,” katanya ketika ditemui TVS selepas ada Majlis Perasmian Kursus Asas Siri Satu 2023 di Pejabat Pertahanan Awam Daerah Limbang semalam.
Katanya, minat mendalam terhadap kerja-kerja membantu mereka yang dalam kesusahan membuatnya tidak berfikir panjang untuk menyertai badan beruniform itu.
Meskipun bakal memikul tugas yang mencabar, beliau sudah bersedia dari aspek fizikal dan mental untuk menyarung pakaian seragam APM Limbang sekali gus membantu orang ramai dalam kesusahan.
“Jadi saya akan berusaha untuk meningkatkan stamina saya supaya lebih bersemangat dalam bekerja,” katanya lagi.
Seorang peserta paling berusia Affendy Amit berasal dari Kampung Belading, berusia 48 tahun tidak menjadikan usia sebagai penghalang untuk terus berbakti kepada masyarakat.
Katanya, minatnya terhadap aktiviti kesukarelawan mendorongnya untuk menyertai APM Limbang dalam kerja penyelamatan khususnya ketika berdepan musibah dan bencana termasuk banjir.
Malah katanya, pengalamannya sebagai anggota bomba sukarelawan selama sembilan tahun sebelum ini memberi keyakinan tinggi untuknya mengalas tugas dan tanggungjawab menolong masyarakat ketika berada dalam kesusahan.
“Saya berminat dengan APM ini kerana ia sangat membantu rakyat yang kesusahan, mangsa banjir ataupun mangsa runtuhan bangunan dan sebagainya,” katanya lagi.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang Leftenan (PA), Mirwan Shah Masri menjelaskan seramai 51 peserta terdiri 42 lelaki dan sembilan wanita berjaya menyertai kursus itu kali ini.
“Kursus Asas Siri Satu 2023, disertai 51 orang, 42 orang lelaki dan sembilan orang perempuan. Jadi untuk menganggotai APM Limbang mereka kena hadir kursus asas selama dua hari iaitu 16 jam dan perlu belajar asas-asas silibus pertahanan awam seperti pengenalan, ikat dan simpulan, kawad dan sebagainya.
“Untuk menganggotai sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam mereka perlulah berumur 18 tahun ke atas hingga 55 tahun,” katanya lagi. -TVS