KUCHING, 2 Julai: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas meminta masyarakat khususnya golongan belia di Saribas untuk memahami Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 agar dapat meningkatkan taraf hidup mereka.
Menurutnya, pelan pembangunan itu merupakan satu transformasi yang komprehensif kerajaan negeri untuk mengemudi pembangunan ekonomi, sosial dan kelestarian alam sekitar Sarawak.
“Terdapat banyak program yang sedang dijalankan dan akan dilaksanakan Kerajaan Sarawak. Masyarakat perlu tahu (dan terlibat) agar dapat meningkatkan taraf hidup mereka.
“Jika tidak, tentunya akan ketinggalan dan kami (wakil rakyat) enggan pemuda Saribas ketinggalan,” katanya semasa menghadiri Program Ngiling Tikai Gawai Dayak Raban Nembiak Saribas Club 2023, pada Sabtu.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu, Ahli Parlimen Betong, Dr Richard Rapu, Pengarah Unit Agama-agama Lain (UNIFOR), Datu Jack Aman Luat, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Roselind Mapong Sabai dan Temenggong Iban Bahagian Kuching, Temenggong Nelson Kloni.
Selain PCDS 2030, Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) juga antara pelan Kerajaan Sarawak untuk membangunkan sosioekonomi dan infrastruktur kawasan itu secara lebih komprehensif.
Dalam pada itu, Uggah berkata, PCDS 2030 adalah perancangan berterusan Kerajaan Sarawak dalam peralihan ke arah ekonomi rendah karbon menjelang 2030, selain memanfaatkan megatrend di seluruh dunia.
“Ia bagi menyusun strategi pembangunan negeri ke arah kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar menjelang 2030,” katanya.
Sementara itu, Dr Richard berkata, terdapat keperluan mendesak bagi golongan belia di Saribas untuk meningkatkan kemahiran mereka terutamanya dalam teknologi terkini ekoran penggunaan kecerdasan buatan yang semakin meningkat dalam pelbagai sektor
Katanya, Sarawak juga giat meneraui teknologi hijau dan digital, maka golongan berkenaan tidak seharusnya teragak-agak untuk mendapatkan latihan berkaitan. -TVS