LUNDU, 1 Julai: Satu ekosistem yang positif dicadang agar dibangunkan dalam kalangan masyarakat sebagai panduan membina keperibadian kanak-kanak, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Menurut beliau kewujudan ekosistem positif itu perlu bermula di rumah dan diteruskan di sekolah bagi memastikan generasi muda terutama golongan kanak-kanak akan terdidik dan berdisplin.
Pada masa sama, Nancy meminta ibu bapa dan guru memantau kelakuan kanak-kanak dari sudut penggunaan bahasa yang digunapakai dan kelakuan ketika bersama rakan sebaya.
“Perlu anak itu tahu bahawa jangan kita buat sesuatu yang tidak baik kepada orang lain sebab kita pun tidak mahu orang buat perkara tidak baik kepada kita sendiri.
“Jadi ini yang perlu kita nasihatkan kepada anak-anak dan kita sebagai ibu bapa juga harus pastikan bahasa yang baik kita gunakan di hadapan anak-anak” katanya.
Ahli Perlimen Santubong itu berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kes buli yang membabitkan empat pelajar sekolah Tingkatan 1 di salah sebuah sekolah menengah di Samarahan baru-baru ini.
Lapan pelajar sekolah di Sri Aman ditahan, bantu siasatan kes buli
Nancy dalam pada itu menyeru mangsa buli atau mereka yang melihat kejadian tersebut untuk terus menghubungi Talian NUR 15999 bagi melaporkan kejadian tidak bermoral tersebut.
“Kami di Kementerian juga ada talian NUR 15999. Kita tidak payah tunggu polis atau tunggu sesiapa apabila melihat terus mengambil tindakan untuk memaklumkan kejadian” ujarnya.
Lapan pelajar sekolah di Sri Aman ditahan, bantu siasatan kes buli
Terdahulu Nancy Shukri menyempurnakan Majlis Ibadah Korban Zon Lundu 2023 di Surau Al-Amin Kampung Stugang Melayu Baru, Lundu, hari ini.
Majlis menyaksikan tiga ekor lembu ditumbangkan untuk diagihkan kepada 195 asnaf dan saudara baharu di kampung berkenaan.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Azizul Annuar Adenan, Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Lundu (LAKIL) Datuk Amar Datin Sri Jamilah Anu dan Pegawai Daerah Lundu Gustian Durani. – TVS