Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ditemui pemberita selepas Program Dialog TVS terbitan TVS, di Kuching, hari ini. Foto: Faitullah Morni (TVS)

Undang-undang pentadbiran Parlimen baharu bakal diperkenalkan – Dr Wan Junaidi

ByAhmad Burhanuddin

KUCHING, 1 Julai: Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan, beliau akan memperkenalkan undang-undang baharu berkaitan etika dalam Parlimen.

Menurut beliau, undang-undang berkenaan diharap akan digunapakai  pada Persidangan Dewan Negara dan Dewan Rakyat akan datang.

“Jika kita lihat Ahli-Ahli Parlimen sekarang ini (ada yang) memekik, melolong, kalau kita lihat pada tahun 1990-an dan 80-an, tidak ada perkara sebegini pun yang berlaku.

“Hingga pada 1999 selepas pilihan raya, barulah kita dapat lihat bahawa terdapat segelintir Ahli Parlimen yang agak agresif pada ketika itu tetapi tidak sampai ke tahap apa yang kita lihat sekarang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Dialog TVS terbitan TVS, di sini, pada Sabtu.

Tegas beliau lagi Ahli-Ahli Parlimen perlu menunjukkan contoh yang baik sebagai penggubal dasar dan undang-undang negara yang tertinggi.

Sementara itu, Dr Wan Junaidi menambah, terdapat beberapa undang-undang lain selain undang-undang berkaitan etika yang bakal beliau perkenalkan.

“Pertama, saya (ingin) perkenalkan Undang-Undang Pentadbiran Parlimen baharu kerana ia telah dimansuh pada 1993.

“Kedua, saya mahu perkenalkan undang-undang baharu untuk hak, keutamaan dan kuasa Parlimen, ataupun meminda undang-undang yang sedia ada itu,” ujarnya.

Kata beliau lagi, bagi undang-undang ketiga, beliau ingin meminda peraturan yang akan mengatur pelantikan jawatankuasa di Dewan Negara dan Dewan Rakyat kerana beliau berpendapat terdapat perantikan yang tidak sesuai di bawah peraturan berkenaan.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan