KUCHING, 1 Julai: Lebih RM 100,000 berjaya dikumpul tahun ini bagi menjayakan ibadah korban di kawasan Parlimen Santubong, kata Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Nancy Shukri.
Menurut beliau jumlah tersebut termasuk sumbangan dari orang perseorangan, syarikat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu menambah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) telah diamanagkan untuk menguruskan program ibadah korban tersebut.
“Terlalu banyak kampung yang meminta sumbangan untuk diadakan ibadah korban dan kita menerima banyak sumbangan dari pelbagai pihak termasuk syarikat persendirian dan individu termasuk orang kampung sendiri.
“Inilah masa kita melihat pengorbanan dari semua pihak bukan sahaja dari pihak kerajaan tetapi juga individu dan juga syarikat yang ingin menunjukkan rasa tanggungjawab mereka pada Aidiladha ini” katanya.
Nancy berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ibadah Korban 2023 di Surau Darul Ibadah, Kampung Bako Hulu Kuching di sini, pada Sabtu.
Hadir sama Pengarah YADIM Negeri Sarawak Awang Dulhadi Awang Mat, Penghulu Kampung Bako Janibah Hazmi dan Ketua Kaum Kampung Bako Hulu Nusi Bujang.
Sementara itu, mengulas mengenai sumbangan yang diterima bagi ibadah korban di Kampung Bako Hulu, Â Awang Dulhadi menjelaskan sumbangan berupa wang ringgit telah diterima pihak YADIM daripada Nancy untuk melangsungkan program berkenaan.
“Sumbangan yang diterima daripada Nancy digunakan untuk membeli tiga ekor lembu yang dikorbankan pada hari ini” jelasnya.
Selain tiga ekor lembu yang disumbangkan oleh Nancy melalui YADIM, dua lagi syarikat turut menyumbang, masing-masing seekor lembu iaitu syarikat Borneo Asphalt Sdn Bhd dan Tall Resources Sdn Bhd.
Kesemua daging korban diagihkan kepada golongan asnaf dan penduduk kampung termasuk 21 orang sukarelawan yang bertugas pada program pagi tadi-TVS