KOTA KINABALU, 1 Julai: Pihak berkuasa diminta membuat siasatan penuh terhadap insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang membabitkan pelancong asing yang ditahan lebih 15 jam, kata Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan itu berkata meskipun kedua-dua pihak mempunyai kenyataan berbeza, pihak berkuasa mesti mencari kebenaran yang telus berhubung kejadian itu.
“Bagi pihak berkuasa jalankan tugas mereka dan walau siapa pun kita masuk ke tempat kawasan keselamatan tanpa pas keselamatan itu tetap salah.
“Walaubagaimanapun, saya merasakan sekiranya apa yang telah dilakukan oleh Dato’ Sri Tiong (Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing) itu betul ekoran membongkarkan banyak perkara yang tidak kita ketahui terutamanya kes rasuah, kita seharusnya berterima kasih kepada beliau,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas diminta pemberita mengulas berhubung dakwaan wujudnya budaya rasuah di KLIA pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Sabtu.
Dalam pada itu, Abdul Karim bertegas gejala rasuah di negara ini semakin berlarutan dan perlu dibendung dengan kadar segera.
“Seperti yang kita tahu, negara kita banyak dilanda rasuah dimana sahaja, baik badan agensi atau badan organisasi yang lain.
“Jadi ini perlu kita aturkan dengan keberanian, kerana kalau tiada orang yang berani ia tidak akan pernah selesai.
“Saya berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pihak Polis jalankan siasatan secara telus dan jangan tutup perkara ini.
“Pendakwaan mesti dibuat walaupun ia membabitkan seorang menteri atau pegawai tinggi Imigresen,” tegasnya.
Semalam, tular berhubung kekecohan tercetus di KLIA yang memperlihatkan seorang menteri didakwa menceroboh balai ketibaan lapangan terbang itu untuk ‘menyelamatkan’ seorang pelancong dari China.-TVS