Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sebuah trak hilang kawalan dan merempuh kenderaan lain dan pejalan kaki di persimpangan jalan di barat Kenya pada Jumaat. Foto: AFP.

Kemalangan ngeri di Kenya ragut 48 nyawa

ByAFP

NAIROBI, 1 Julai: Sekurang-kurangnya 48 orang terbunuh apabila sebuah trak hilang kawalan dan merempuh kenderaan lain dan pejalan kaki di persimpangan jalan di barat Kenya pada Jumaat.

Imej televisyen menunjukkan adegan kemusnahan di lokasi nahas, dengan serpihan beberapa bas mini yang hancur dan trak yang terbalik ketika anggota penyelamat melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dikhuatiri terperangkap.

“Setakat ini pihak kami mengesahkan 48 orang telah maut dan kami mengesyaki satu atau dua masih terperangkap di bawah trak,” kata komander polis tempatan, Geoffrey Mayek kepada AFP.

Tambah beliau, kemalangan itu berlaku di lebuh raya antara bandar Kericho dan Nakuru kira-kira pukul 6:30 petang.

Beliau memaklumkan 30 orang lagi cedera parah dan dikejarkan ke pelbagai hospital dan menjangkakan bahawa jumlah kematian mungkin meningkat.

“Keadaan di lokasi kejadian sangat buruk…mayat dan darah di seluruh tempat. Begitu ramai orang yang mati,” kata seorang saksi, Maureen Jepkoech.

Menurut Komander polis wilayah Lembah Rift, Tom Mboya Odero, trak yang menuju ke Kericho hilang kawalan dan merempuh lapan kenderaan, beberapa motosikal serta orang ramai yang berada di tepi jalan, penjual dan orang lain yang menjalankan perniagaan di sekitar kawasan nahas.

Pemimpin Kenya termasuk Presiden William Ruto mengucapkan takziah selepas kemalangan itu berlaku di kawasan sesak yang dikenali sebagai persimpangan Londiani.

Menteri Pengangkutan, Kipchumba Murkomen berkata di Twitter bahawa usaha menyelamat akan disusuli dengan siasatan untuk mengetahui punca nahas.

Doktor kanan Hospital Daerah Kericho, Collins Kipkoech berkata setakat ini bilik mayat telah menerima 45 mayat mangsa nahas manakala terdapat juga mangsa dibawa ke hospital lain dan operasi menyelamat masih diteruskan.

Selain itu, The Kenyan Red Cross, yang menghantar ambulan dan pekerja penyelamat ke tempat kejadian, berkata hujan lebat menghalang operasi menyelamat.

“Lori itu berada pada kelajuan tinggi dan membunyikan hon. Ia cuba mengelak beberapa kenderaan sebelum ia terus merempuh dan hilang kawalan,” kata saksi Jepkoech.

“Apa yang boleh saya katakan ialah saya bertuah kerana masih hidup kerana saya melihat apa yang berlaku dan saya masih hidup kerana saya berlari, saya hanya bernasib baik,” tambahnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan