KAPIT, 30 Jun: Berpantang maut sebelum ajal, tiga wanita berdepan detik cemas selepas kereta dinaiki terbabas di bahu jalan di Kilometer 33 Jalan Pan Borneo menghala ke Jalan Mumu di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, kesemua wanita terbabit merupakan guru berusia antara 25 hingga 30 tahun, bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan.
Ketua Bomba dan Penyelamat, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Timoty Barat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.44 pagi. sebelum menggerakkan dua pasukan bomba dari BBP Kapit dan BBP Song ke tempat kejadian.
“Setiba di lokasi, didapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Axia telah terbabas di bahu jalan.
“Terdapat tiga orang wanita yang menaiki kereta tersebut telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba dan kesemua mereka terselamat,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Menurutnya anggota bomba kemudian menjalankan ‘triage‘ terhadap mangsa sebelum ketibaan pihak ambulan.
“Seorang daripada mangsa megalami sakit di bahagian dada dan seorang lagi cedera di bahagian kaki manakala seorang tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kesemua mangsa telah diserahkan kepada pihak ambulan dan dihantar ke Hospital Kapit menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” ujarnya.
Menurut Timoty, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) telah bertindak membuka sambungan kabel pada bateri kereta untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.
Setelah selesai membuat pemantauan di lokasi dan memastikan keadaan sekeliling selamat untuk pengguna jalan raya lain, PKO BBP Kapit dan Song bertolak balik ke balai masing-masing.
Seramai 13 anggota bomba termasuk lapan dari BBP Kapit,empat petugas KKM Kapit dan dua dari KKM Song terlibat dalam operasi tersebut yang ditamatkan pada jam 8.33 pagi. – TVS