KUCHING, 30 Jun: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa untuk melakukan siasatan secara besar-besaran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 berhubung wujudnya budaya rasuah di pintu masuk negara.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dalam satu kenyataan berkata ia susulan terdapat segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik dalam kalangan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Jelasnya, didapati pegawai Imigresen meminta wang sekiranya pelancong asing yang ditahan mahu dilepaskan.
“Ada yang minta sehingga RM3,000 untuk dikeluarkan dari tahanan termasuk tiket penerbangan pulang ke negara asal.
“Tambahan RM3,000 pula diminta jika mahu pulang ke negara asal dengan kadar segera menerusi ‘laluan khas’, manakala RM12,000 untuk kos memproses visa,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Kesemua maklumat tersebut tegas beliau akan diserahkan kepada SPRM agar siasatan dapat dijalankan dan seterusnya dapat memulihkan imej Malaysia, terutamanya di pintu masuk negara.
Terdahulu tular di media sosial berkaitan isu beliau didakwa menceroboh masuk ke dewan ketibaan antarabangsa KLIA1 bagi membebaskan seorang pelawat China yang ditahan Jabatan Imigresen.
“Benar, daripada gambar tular itu, memang ia nya saya dan saya juga berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada ketika itu selepas menerima aduan daripada pelancong, untuk memahami keadaan ketibaan pelancong asing ke Malaysia, ini pemantauan biasa bagi seorang menteri untuk turun padang.
“Saya bersyukur, kerana kehadiran saya telah membongkar satu peristiwa yang memalukan negara apabila wujudnya budaya rasuah yang dilakukan oleh segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik di pintu masuk negara. Pada mulanya saya tidak mahu mendedahkan perkara ini kerana sedang bertindak mengikut saluran serta platform yang lebih praktikal,” jelasnya.
Namun begitu, Tiong menafi sekeras-kerasnya dakwaan yang menuduh beliau melepaskan pelancong asing yang ditahan oleh pihak Imigresen.
“Saya tiada kuasa untuk itu, dan saya hanya merosakkan reputasi saya sendiri jika berbuat demikian. Saya masih waras dan tahu batas-batas sebagai seorang Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Apa guna saya sebagai Menteri sekiranya saya tidak memberi tumpuan serius terhadap kepentingan negara, tambahan pula ia menjejaskan imej negara dan menakut-nakutkan pelancong asing? Jika kita tidak serius dalam isu ini sekarang, sampai bila-bila pun ia tidak akan diselesaikan,” tegas beliau lagi.
Dalam kejadian pada Khamis itu, beliau turut didakwa masuk ke dewan ketibaan tanpa memohon pas keselamatan dan dipercayai bertindak sedemikian bagi menyelamatkan wanita warga China itu yang tidak dibenarkan memasuki negara ini sebaik tiba di lapangan terbang berkenaan.
“Apa yang lebih mengejutkan, artikel tersebut turut mengatakan saya telah memasuki ke dalam ruang ketibaan tanpa memohon pas, sedangkan saya memiliki pas yang sah untuk memasuki kawasan tersebut,” ujar beliau. -TVS