Anwar berkata beliau berharap kawan-kawan (pengundi-pengundi) di Pulau Pinang akan pulih dari terbawa-bawa dengan sentimen ketika Pilihan Raya Umum ke-15 lepas dan sokong Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri.
“Saya harap kawan-kawan Pulau Pinang, maklumlah, kadang-kadang terbawa-bawa sikit sentimen pada masa itu…dapat pulih balik dan kita nak Kerajaan Pulau Pinang ini (selari) Kerajaan Perpaduan…supaya kita boleh sama-sama dengan Kerajaan Perpaduan Persekutuan dan kita boleh bangunkan nasib orang Melayu Pulau Pinang,” katanya ketika berucap merasmikan program Qurban Perdana di sini hari ini.
Anwar berkata, enam bulan lepas, beliau telah menghidupkan Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang bagi mempertahankan nasib orang Melayu di negeri ini.
“Ini adalah untuk bantu kerajaan negeri dan Persekutuan, supaya orang Melayu tidak terasa tersisih,” katanya.
Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Kerajaan Perpaduan telah membuktikan keikhlasan untuk membantu orang Melayu dengan menandatangani satu perjanjian melibatkan Jaminan Kerajaan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) untuk menstruktur semula pinjaman agensi itu melalui terbitan sukuk dan kredit pusingan dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan Felda.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan Rabu lepas memaklumkan sebahagian besar penstrukturan semula pinjaman Felda itu akan melibatkan pengurangan prinsipal hutang Felda bersama institusi kewangan sebanyak RM7.9 bilion.
Penstrukturan semula pinjaman itu akan mengurangkan kos kewangan Felda terhadap kadar faedah yang dikenakan serta membolehkannya memberi pemansuhan 80 peratus hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion, menurut MoF.
“Dua hari lepas, saya baru menandatangani perjanjian untuk pemansuhan 80 peratus hutang Felda yang mempunyai 95 peratus peneroka Melayu,” katanya.
Anwar berkata hutang Felda yang begitu tinggi adalah disebabkan oleh kelemahan pengurusan agensi itu dan bukan salah peneroka.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai keyakinan beliau terhadap kerusi tradisi keluarganya di kawasan Permatang Pauh, Anwar menjawab “Insya-Allah, kami akan menang.”
Anwar juga berkata, beliau tidak boleh menerima naratif gelombang hijau yang menggunakan isu agama dan bangsa untuk mendapat undi.
“Ada pihak yang sebut, siapa yang tidak bersetuju dengan parti dia, dialah musuh Allah. Ini tidak betul, saya bersama dengan Pakatan Harapan dan UMNO akan terus mempertahankan bangsa dan agama,” katanya. -TVS