JAKARTA, 29 Jun: Penyakit kaki dan mulut (HFMD) menyerang haiwan ternakan yang berleluasa di Indonesia telah memberi impak ketara terhadap permintaan bekalan lembu dan kambing untuk perayaan Aidiladha kali ini.
Wabak yang berlaku sejak tahun lepas menyebabkan sebahagian besar haiwan ternakan itu mati dan tidak dapat membiak hingga bekalan tahun ini berkurangan.
Kekurangan bekalan ternakan di beberapa wilayah juga menyebabkan harga meningkat sebanyak 20 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Kenaikan harga itu turut dirungut peniaga termasuk Galuh Mustofa yang berkata kenaikan harga itu menyebabkan pembeli berkurangan.
“Tahun ini lebih teruk berbanding tahun sebelumnya, kesan HFMD semakin dirasai apabila harga lembu meningkat sehingga jumlah pembeli turun secara drastik,” katanya kepada TVS pada Khamis.
Beliau juga berkata sehingga semalam, daripada 55 ekor lembu yang selalu habis dijual setiap tahun, hanya 40 ekor sahaja yang dapat dijual tahun ini.
Menurutnya, lembu yang selalu dijual pada harga RM5,200 seekor seberat 250 kilogram, tahun ini dijual pada harga RM6,200 seekor.
Sementara itu, berdasarkan data Badan Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), masih terdapat 4,707 kes aktif daripada 630,731 kes HFMD di Indonesia.
Bagaimanapun, pihak berkenaan terus melakukan vaksinasi dan menetapkan sekatan ke atas laluan haiwan ternakan dari beberapa wilayah di Indonesia. -TVS