KUCHING, 29 Jun: Lebih 500 orang asnaf di bandar raya ini menerima manfaat daripada sumbangan daging korban sebanyak satu tan iaitu 15 ekor lembu yang diagihkan oleh Surau Wakaf Taman Indah, Bandar Baru Samariang hari ini.
Menurut Pengerusi Surau Wakaf Taman Indah, Yahya Saruji, daging korban sebanyak satu tan itu dapat direalisasikan hasil sumbangan komuniti setempat terutamanya di Mukim Taman indah yang mula dikumpulkan sejak Aidilfitri lalu.
“Bersempena dengan Majlis Qurban Perdana Surau Wakaf Taman Indah, kita telah mengumpul sebanyak 15 ekor lembu iaitu dua ekor lembu adalah masing-masing seberat 600 kilogram (kg) seterusnya 10 ekor lembu dikorbankan pada hari ini dan lima ekor lagi akan dikorbankan pada Sabtu.
“Semuanya adalah sumbangan daripada komuniti setempat dan disebabkan itu kita optimis dapat menyasarkan sumbangan daging korban sebanyak satu tan kepada golongan yang memerlukan,” beliau berkata demikian ketika ditemui TVS pada Majlis Agihan Simbolik Qurban Perdana Surau Wakaf Taman Indah di sini, pada Khamis.
Majlis tersebut turut disempurnakan oleh Ketua Bahagian Pembangunan Komuniti, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Ramli Omar Baki yang mewakili Datuk Bandar DBKU.
Beliau juga memberitahu daging korban yang selebihnya akan diagihkan oleh Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) kepada Golongan Asnaf dan Fakir Miskin yang memerlukan serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sarawak kepada Golongan Mualaf di sekitar kawasan Serian.
Yahya dalam pada itu berharap majlis itu dapat dijadikan sebagai satu seruan untuk menyantuni golongan yang memerlukan.
“Pada masa sama, kita juga harus menjadikan ia sebagai satu sunnah yang diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW yang mana seperti kita tahu tidak pernah ditinggalkan oleh Baginda.
“Sebagai orang Islam, kita harus menjadikan hari ini sebagai hari pengorbanan kita dalam menggembirakan golongan yang memerlukan yang mana mereka sendiri tidak mampu membeli daging lembu seperti kita dan jadi hari ini, kita membantu mereka dari segi sumbangan daging korban,” katanya lagi.
Majlis Qurban Perdana yang disertai lebih 100 peserta daripada komuniti setempat itu telah mengambil bahagian sejak Solat Sunat Aidiladha pada pagi tadi dan akan diteruskan pada Sabtu kelak. – TVS