JAKARTA, 29 Jun: Hari Raya Aidiladha di Indonesia tahun ini disambut berbeza setelah kerajaan mengumumkan negara ini memasuki fasa endemik.
Sambutan lebih meriah disaksikan di seluruh negara setelah pelbagai sekatan untuk memerangi pandemik COVID-19 ditarik balik.
Awal pagi ribuan umat Islam memenuhi pekarangan masjid di seluruh negara untuk menunaikan solat sunat Aidiladha.
Ibadah korban yang ‘terhenti’ sejak tiga tahun lepas juga kembali dilakukan pada sambutan tahun ini.
Di ibu negara, ribuan umat Islamdi Kampung Melayu, Jakarta Timur, turut menunaikan solat sunat Aidiladha.
Seorang penduduk, Deni Hendra memberitahu TVS, dia gembira dapat menunaikan ibadah korban pada tahun ini tanpa sebarang sekatan.
“Sekarang ini senang selepas solat, boleh buat persiapan untuk menyembelih korban dan boleh juga beri daging kepada golongan asnaf, tiada lagi sekatan seperti sebelum ini,” katanya.
Pada 21 Jun lalu, Indonesia mengumumkan bahawa negara itu telah menamatkan status wabak COVID-19 secara rasmi dan tiada sebaran sekatan yang berlaku. -TVS