BETONG, 29 Jun: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Dato Gerald Rentap Jabu akan menaja enam orang penduduk di enam buah kampung Melayu di Betong untuk menunaikan ibadah haji tahun hadapan.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak berkata, tajaan berkenaan sebagai ‘hadiah’ kepada mereka bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.
“Saya mahu memberi peluang kepada mereka yang kurang berkemampuan untuk menunaikan salah satu rukun Islam.
“Inisiatif ini dilaksanakan menerusi Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) saya,” katanya selepas hadir Majlis Makan Malam di Masjid Jamek di Betong malam tadi.
Katanya, mereka yang bakal ditaja ini akan dipilih oleh ketua kampung masing – masing dan ditapis oleh Jabatan Agama Islam Islam Sarawak (JAIS).
“Ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk merealisasikan impian golongan yang kurang berkemampuan.
“Kita mahu masyarakat tidak berasa tersisih dalam menerima sumbangan terutamanya dari pusat khidmat DUN,” katanya.- TVS