KOTA SAMARAHAN, 28 Jun: Semarakkan pengorbanan dalam usaha meraih ketakwaan merupakan antara manifestasi utama Hari Raya Aidiladha yang penting untuk dihayati serta diteladani seluruh umat Islam.
Menteri Utiliti dan Komunikasi Sarawak Datuk Julaihi Nerawi berkata, sifat murni sedemikian seharusnya ditanam ke dalam diri umat Islam agar mencapai kejayaan yang diredhai oleh Allah S.W.T.
Tegas beliau agama Islam juga menuntut setiap umatnya supaya sentiasa mempunyai kesabaran dan sangup berkorban dalam menengakkan syiar agama.
“Kesabaran dan pengorbanan yang benar-benar disandarkan atas sifat kehambaan dan ketakwaan kepada Allah S.W.T akan menjamin kejayaan yang cukup bermakna seumpamanya pengorbanan Nabi Ibrahim A.S. dengan menuruti perintah Allah S.W.T supaya menyembelih anaknya Nabi Ismail A.S.
“Dalam konteks ini, umat islam seharusnya mengambil mesej penting ini sebagai panduan hidup seharian bagi menghadapi pelbagai bentuk cabaran dan dugaan.
“Justeru dengan pendekatan tersebut kita bukan sahaja dapat menikmati kehidupan dengan lebih selesa dan harmoni malah lebih penting daripada itu umat Islam sentiasa memperoleh rahmat dan keberkatan daripada Allah S.W.T,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Lembu Korban Sumbangan Lembaga Amanah Masjid Bahagian Samarahan di sini hari ini.
Terdahulu sebanyak 43 ekor lembu disumbang oleh lembaga tersebut yang akan diserahkan kepada wakil daripada tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Samarahan dengan setiap satu kawasan DUN mendapat sumbangan enam ekor lembu.
Manakala seekor lembu lagi disumbang kepada Jawatankuasa Pengurusan Masjid Al-Muttaqin untuk dikorban pada Sambutan Hari Raya Aidiladha esok (29 Jun). -TVS